Tazkirah Jumaat: Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim
Ustaz Zain Hashim
Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara.”
Huraiannya
Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.
Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.
Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?
Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.
Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah…
Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati
Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.
Cuba bayangkan jika kita yang sedang mengalami saat kematian seperti didalam video ini.
Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.
Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Mathurat, kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan peristasi iman kepada Allah SWT.
Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah seminggu di pejabat.
Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim.
Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?
Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A. atau PhD. Selepas daripada itu, menjawat jawatan mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di rumah.
Hati menjadi keras
Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.
Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).
Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.
Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.
Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.
Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.
Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.
Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.
Penyelesaian masalah
Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:
Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.
Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain, perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.
Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk mempelajari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu.
Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh, tahudid, sirah, akidah dan sebagainya.
Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia.
Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat.
Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.
Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap, menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.
Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.
Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.
Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian!
dipetik dari:Koleksi emel
Post a Comment
Sila tinggalkan komen ada dibawah ini dan yang berkenaan dengan post sahaja dan semua komen akan ditapis dahulu sebelum ditampilkan.