02

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”.

Daripada kedua hadis tersebut kita mengambil kesimpulan bahawa meskipun, dengan datangnya kematian kepada kita, kesempatan untuk beramal telah terputus atau terhenti, tetapi peluang untuk memperoleh pahala amalan tertentu tetap terbuka bagi kita.

Di dalam kedua hadis tersebut, Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan kepada kita bidang-bidang pelaburan yang pasti akan menguntungkan kerana pahalanya akan berterusan mengalir selepas kematian kita, iaitu:

Pertama: sadaqh jariyah, iaitu sedekah yang pahalanya terus mengalir selama faedah atau manfaat yang disedekahkan itu terus berjalan, seperti menderma atau mewakafkan tanah untuk masjid, surau, madrasah atau lain-lain yang berguna bagi agama dan umat Islam.

Kedua: menuntut dan mengembangkan ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi agama dan umat, menghidupkan majlis-majlis ilmu atau pengajian-pengajian, dan lain-lain usaha yang membantu ke arah perkembangan ilmu pengetahuan yang dituntut oleh agama.

Ketiga: memperhatikan pendidikan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, yang sentiasa berdo’a untuk kedua ibu-bapanya.

Keempat: setiap amalan yang mendatangkan kebaikan, yang selari atau tidak bercanggah dengan syariat, yang kita mulakan melakukannya semasa hidup kita, kemudian diikuti oleh orang ramai sehingga menjadi adat kebiasaan bagi mereka, maka kita akan mendapat pahala melakukannya dan juga sebanyak pahala orang yang mengikutinya.

Amalan yang hidup untuk yang mati

Mengenai amalan orang yang hidup, seperti bacaan Al-Qur’an, do’a, sedekah dan lain-lain, untuk orang yang sudah mati, terdapat perbezaan pandangan: Imam Nawawi, di dalam kitabnya Al-Adzkaar, menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa do’a untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka, dan pahalanya sampai kepada mereka bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Hasyr:

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo’a dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa kami, dan dosa saudara-saudara kami yang mendahulu kami dalam iman,…”.

Dan juga bersandar kepada hadis-hadis yang masyhur, seperti: do’a Rasulullah s.a.w.:

“Ya Allah, ampunilah bagi ahli yang hidup dan juga yang mati daripada kami”, dan lain-lain.

Mengenai bacaan Al-Qur’an, terdapat perbezaan pandangan:

Yang masyhur daripada mazhab Syafi’ie bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Tetapi, sekumpulan sahabat Imam Syafi’e sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya, yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat dan sampai pahalanya kepada si mati.

Imam Nawawi r.a. telah menukil riwayat Abi Dawud dan Baihaqi daripada Uthman Bin Affan r.a. bahawa beliau berkata:

“Nabi s.a.w., apabila selesai daripada mengebumikan mayat, berdiri di atasnya, kemudian bersabda: Mohonlah keampunan bagi saudaramu, dan mintakan baginya ketabahan, kerana sesungguhnya ia sekarang sedang disoal”.

Imam Syafi’ie r.a. dan sahabat-sahabatnya menyatakan bahawa disunatkan membaca sebahagian daripada Al-Qur’an, dan jika mereka mengkhatamkan seluruhnya adalah lebih baik lagi.

Imam Nawawi juga telah menukil riwayat Baihaqi bahawa menurut Ibnu Umar r.a. disunatkan membaca awal dan penghabisan daripada surah Al-Baqarah, selepas pengembumian di atas kubur.

Segolongan kaum muslimin berpendapat bahawa orang mati tidak akan mendapat sebarang faedah daripada amalan orang yang hidup. Mereka berhujjah dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Najm: 39:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”.

Dan mereka juga berhujah dengan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila manusia mati, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah(untuk masjid, surau, madrasah dan lain-lain keperluan kaum muslimin), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Hasan Al-Saqqaf telah menukil jawaban Imam Abdullah Ibnu al-Siddiq al-Ghamawi di dalam risalahnya, Tawdih al-Bayan Li Wusul Thawab al-Qur’an, yang di antara kandungannya:

“Ayat tersebut (Al-Najm:39)tidak menafikan bolehnya seseorang mengambil manfaat daripada usaha orang lain. Yang dinafikan olehnya adalah pemilikan manfaat tersebut bagi selain yang mengusahakannya. Di antara kedua perkara tersebut terdapat perbezaan yang nyata.

Allah SWT mengkhabarkan bahawa manusia tidak memiliki selain yang diusahakannya. Adapun yang diusahakan oleh orang lain, maka ia adalah milik yang mengusahakannya: jika ia ingin ia boleh memberikannya kepada orang lain, dan jika ia ingin ia boleh mengekalkannya bagi dirinya sendiri. Allah SWT tidak memfirmankan bahawa ia tidak akan mengambil manfaat melainkan dengan apa yang ia usahakan.

Imam Qurtubi berkata: Dikatakan sesungguhnya Allah berfirman; laam al-khafd dalam bahasa Arab bererti memiliki dan mewajibkan, maka makna ayat: Tidak wajib bagi manusia selain yang ia usahakan. Jika orang lain bersedekah kepadanya, maka tidak wajib baginya sesuatu, tetapi Allah Azza Wa Jalla bermurah hati ke atasnya dengan memberikan apa yang tidak wajib baginya, sebagaimana Allah bermurah hati dengan memasukkan kanak-kanak ke dalam Syurga tanpa amal.

Syaikh Abul Abbas, Ahmad Bin Taimiyah berkata: Barangsiapa yang mengiktiqadkan bahawa manusia tidak akan mengambil faedah selain daripada apa yang ia lakukan, maka ia telah menyalahi ijma’. Yang demikian adalah batil dari beberapa segi:

Pertama: Manusia mengambil faedah daripada do’a orang lain, yang bererti mengambil manfaat daripada amalan orang lain.

Kedua: Nabi s.a.w. memberi syafaat kepada ahl al-mawqif (semua manusia yang menunggu penghisaban di Mahsyar) untuk menyegerakan penghisaban, kemudian kepada ahli Syurga untuk memasukkan mereka ke dalam Syurga, kemudian bagi ahl al-kabair (orang-orang yang melakukan dosa besar) untuk mengeluarkan mereka dari neraka.

Ketiga: Para malaikat berdo’a dan memintakan ampunan bagi penduduk bumi.

Keempat: Allah SWT mengeluarkan orang yang belum pernah melakukan sebarang kebaikan dari neraka kerana semata kemurahan dan rahmatNya. Ini bermakna mereka mengambil manfaat daripada selain amalan mereka.

Kelima: Kanak-kanak orang mukmin memasuki Syurga dengan amalan bapa mereka.

Keenam: Dalam surah al-Kahfi, dua anak yatim mengambil manfaat daripada amalan bapa mereka yang soleh.

Ketujuh: Mayat mengambil manfaat dengan sedekah yang dibuat untuknya, dengan nas Al-Sunnah dan ijma’.

Kelapan: Haji wajib gugur tuntutan ke atas mayat dengan haji yang dilakukan oleh Walinya untuknya, dengan nas Al-Sunnah.

Kesembilan: Haji nazar atau puasa nazar gugur tuntutan ke atas mayat dengan dilakukan oleh orang lain.

Kesepuluh: Orang yang berhutang, yang Nabi s.a.w. menolak untuk solat ke atas jenazahnya sehingga dibayarkan hutangnya oleh Abu Qotadah r.a., dan dibayarkan hutang lainnya oleh Ali Bin Abi Talib r.a., mengambil manfaat daripada amalan mereka dan daripada solat Nabi s.a.w., yang juga merupakan amalan orang lain.

Dengan huraian ini jelaslah bahawa berhujah dengan ayat tersebut atas tidak sampainya pahala do’a atau bacaan kepada mayat adalah tidak benar, kerana ayat tersebut tidak menunjukkan yang demikian.

Imam Nawawi berkata:

“Sebaiknya, orang yang membaca (Al-Qur’an), selepas selesai membacanya, hendaklah berdo’a: Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si Fulan, dan juga disunatkan supaya memuji si mati dan menyebut kebaikan-kebaikannya”.


6 comments:

  1. ariey,
    ade refer article ni dr mane2 x?
    just asking..
    nak la tau jgk kot2 bleh upgrade ape yg kurg bab agama ni :)

    ReplyDelete
  2. Artikel ni aku byk terima dari e-mel dh simpan lama sgt..aku rasa baik aku kongsi dgn semua..hanya tlg mengingat kepada yg lalai:D

    ReplyDelete
  3. Salam, moga2 artikel ni memberi manfaat kepada semua. Mohon di copy paste ya artikel ini untuk dimuatkan ke dalam KelasQuran.blogspot.com. Moga2 usaha kita ini mendapat berkat daripada Yang Maha Kuasa

    Ikuti kelas-kelas pengajian Al-Quran, Tajwid & Bahasa Arab di sekitar Kuala Lumpur, & Selangor
    http://KelasQuran.blogspot.com/

    Senarai kelas-kelas pengajian Al-Quran dan Tajwid
    http://KelasQuran.blogspot.com/search/label/Kelas%20Al-Quran

    Senarai kelas-kelas Bahasa Arab
    http://KelasQuran.blogspot.com/search/labe...20Bahasa%20Arab

    Tafsir Al-Quran
    http://KelasQuran.blogspot.com/search/labe...fsir%20Al-Quran

    Al-Quran online
    http://KelasQuran.blogspot.com/search/labe...-Quran%20Online

    Download mp3 Al-Quran
    http://KelasQuran.blogspot.com/search/label/mp3

    Fadhilat Membaca dan Menghafal Al-Quran
    • "Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarnya" (Hadith riwayat Bukhari)
    • "Mereka yang membaca Al-Qur'an dan dia mahir didalamnya maka ia bersama para malaikat pencatit yang mulia. Mereka yang membaca Al-Qur'an sedangkan ia tidak lancar bacaannya dan payah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
    • "Bacalah Al-Qur'an kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya." (Hadith riwayat Muslim)
    • "Tiada ada hasad kecuali pada dua perkara: Orang yang Allah berikan kepadanya Al-Qur'an maka dia membacanya siang dan malam. Dan orang yang Allah berikan kepadanya harta maka ia menafkahkannya siang dan malam." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
    • "Sesiapa membaca sehuruf dari Al-Qur'an maka untuknya satu kebajikan, dan setiap kebajikan digandakan sepuluh kali. Aku tidak berkata Alif-Lam-Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah huruf, Lam adalah huruf dan Mim adalah huruf." (Hadith riwayat Tarmidzi)
    • "Berkata Allah s.w.t.: Sesiapa yang disibukkan dengan membaca Al-Qur'an dan mengingati Aku daripada meminta sesuatu dari Aku, maka Aku akan memberikannya lebih baik dari apa yang diminta oleh orang lain. Dan kelebihan perkataan Allah (Al-Qur'an) atas perkataan-perkataan lain adalah seperti kelebihan Allah atas makhluknya." (Hadith riwayat Tarmidzi)
    • Bacalah Al-Qur'an kerana Allah s.w.t tidak mengazabkan hati yang menyimpan Al-Qur'an. Dan sesungguhnya Al-Qur'an ini adalah jemputan Allah. Siapa yang mendatanginya maka ia akan merasa keamanan. Dan sesiapa yang cinta akan Al-Qur'an maka bergembiralah." (Hadith riwayat Ad-Darimy)
    http://kelasquran.blogspot.com/2008/10/fad...l-al-quran.html

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum saudara/saudari penyampai ilmuNYA:

    Artikel yang amat bermakna kerana jika ada sebilangan dari kita yang telah meninggal dunia..akan ada yang mengatakan 'sedekahkan Al-Fatihah' kpd si fulan..jadi di sini mungkin salah faham bab 'sedekahkan'.Melalui artikel ini,ia membantu serba sedikit tentang amalan orang yang hidup kpd si mati.

    maafkan saya.Boleh saya tahu antara bahan rujukan(buku/kitab) yang digunakan oleh penulis akan perkara yang berkaitan dengan isi artikal yang tertera?-yang memerlukan-segera ingin mengetahuinya jika berkesempatan-

    sekian..tiada segala amalan & kebaikan padanya anugerah serta pembalasan~Syukron kerana membantu~WALLAHUA"LAM.

    ReplyDelete
  5. Kelas Al-Quraan silkan semoga bermanafaat utk semua.

    ReplyDelete
  6. Artikel ini didapati melalui emel jadi tidak tahu sumber untuk rujukkannya tetapi telah disemak terlebih dahulu sebelum dipost kerana takut ada yg salah..

    ReplyDelete

Sila tinggalkan komen ada dibawah ini dan yang berkenaan dengan post sahaja dan semua komen akan ditapis dahulu sebelum ditampilkan.