465 IBADAT puasa wajib dilaksanakan umat Islam dan hukumnya fardu ain. Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan (ijmak) ulama atau ilmuan Islam.

“Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu.” (al-Baqarah:83)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Didirikan Islam atas lima perkara - antaranya puasa Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

Suka atau tidak, umat Islam yang cukup syaratnya dikehendaki berpuasa selama sebulan Ramadan. Apabila berpuasa hendaklah menjaga adab dan batasnya, supaya puasa yang dikerjakan diterima Allah.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan, iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat, puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah secara total.

Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat. Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.

Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.

Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin. Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:

1. Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.

2. Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.

3. Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan, haram juga didengar. Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud:

“Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram.” (al-Maidah:42)

4. Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal tetapi berbuka dengan makanan haram.

5. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal.

Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.

6. Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah, kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

 

Sumber Dari:Koleksi Emel


8 comments:

  1. alhamdulillah, aku bace =)

    tanx sebab sharing

    ReplyDelete
  2. sama2 semoga puasa kita puasa yg diterima oleh Allah.Dan semoga puasa tahun ini lebih baik dari tahun yg sudah

    ReplyDelete
  3. sama2 la kita mjaga pose kita dan mperolehi sebaik2 kberkatan...

    ReplyDelete
  4. Artikelnya bagus, sering2 mampir ya

    Salam
    Indonesia

    ReplyDelete
  5. doblogger ilmu yg berguna perlu di kongsi semoga sama2 dpt manafaat :)..terima kasih krn slalu berkunjung kemari

    ReplyDelete
  6. tima kasih share info ni.. :)

    harap2 dpt la aku praktikkan dlm bulan ramadhan ni..

    ReplyDelete
  7. ok ezany..semoga puasa tahun ini adalah puasa yg benar2 diterima oleh Allah

    ReplyDelete

Sila tinggalkan komen ada dibawah ini dan yang berkenaan dengan post sahaja dan semua komen akan ditapis dahulu sebelum ditampilkan.